Saya ditanya oleh kawan-kawan, apakah itu 'puisi'?
Definisi : karangan yg berbentuk sajak (syair, pantun, dll); berpuisi mengarang puisi, menyatakan sesuatu dlm bentuk puisi; mempuisikan melahirkan (menyampaikan, menyatakan) sesuatu dlm bentuk puisi: pelbagai kisah yg dipuisikan itu boleh menghiburkan hati selepas berpenat lelah di sawah ladang; kepuisian berkaitan dgn puisi, yg menunjukkan ciri-ciri dlm puisi: pembaca tidak dapat memahaminya dan mutu ~nya kurang dapat dirasai oleh pembaca; perpuisian segala-gala yg berkaitan dgn puisi: kita di Malaysia telah lama berusaha membentuk suatu tradisi ~ yg kuat; sejarah ~ Melayu; pemuisi orang yg mencipta (mengarang, menulis atau mendeklamasikan) puisi, penyajak. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Jawapan saya: puisi itu adalah isi hati yang ditulis/ dikarang/ dibicarakan/ dilontarkan tiada lain manfaatnya kecuali sesuatu perkongsian yang ingin disampaikan oleh penulis yang mengandungi ilmu, nasihat, sindiran, cerita, pesanan dan lain-lain lagi.
Mari kita semak jenis-jenis puisi, yang umumnya mempunyai dua pecahan besar iaitu puisi tradisional dan puisi moden yang boleh dikategorikan seperti berikut:
Puisi Moden: Sajak, satu lagi Lirik lagu termasuk atau tidak?
Puisi tradisional bagi saya adalah bentuk penulisan yang terikat mempunyai pembayang dan maksud dalam rangkap dan dikunci dengan rima itulah pantun:
Sungguh cantik ikan kelisa,
Dicari orang sejak dahulu; = pembayang
Berlian terbaik diikat suasa,
Bagai pedang tidak berhulu. = maksud
(Pantun inilah yang saya menang dalam cabaran sambung pantun anjuran Dewan Bahasa & Pustaka DBP dengan kerjasama Hotel Seri Malaysia, dapat lah tidur kat hotel Seri Malaysia secara percuma tahun 2022)
Syair pula penulisan yang sedikit bebas tetapi terikat dengan rima setiap rangkap contohnya:
Telah datang rombongan meminang,
Anak Pak Hitam orang Terbilang,
Bakal menantu orang berdagang,
Bergulailah sekampung ikan sembilang.
Adapun kaya keluarga Pak Hitam...
Seloka agak saya suka kerana ianya seakan nasihat dan sidiran seperti:
Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran.
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan.
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.
Lebih kurang macam itulah, puisi tradisional manakala sajak lebih bebas penulisannya namun mempunyai isi yang tersurat dan tersirat beriringan contohnya:
TITIS RINDU
Bukan cemburu
hujan menyintai tanah -
basah merusuh.
Fauzi Isa
Sik Kedah
Begitulah serba ringkas penerangan saya berkaitan puisi semoga terjawablah persoalan yang dikemukan oleh kawan saya. Semoga berjumpa lagi dengan isu yang lain pula. Terima kasih.
DEKLAMASI PUISI DAPAT MENYEMARAKKAN BAHASA KEBANGSAAN DI KALANGAN PENJAWAT AWAM
RABU (11.02.2026)
ALOR SETAR - Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Sempena Program Tanwir Ramadan 2026/1447H, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Sharhida Nazuha Saad berkata pertandingan ini dilihat sebagai penggerakkan kepada usaha menyemarakkan Bahasa Melayu di kalangan penjawat awam.
"Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah menyertai pertandingan ini. Usaha ini bukan sahaja mencerminkan budaya menyantuni Bahasa Melayu yang tinggi tetapi juga membuktikan bahawa warga penjawat awam kita berbakat menganyam pemikiran kreatif menjadi bait-bait puisi yang indah dan wajar dibanggakan.
"Pada hari ini, kita menyaksikan suatu pencapaian yang cukup membanggakan apabila penjawat awam yang lazimnya dikenali melalui ketelitian kerja, disiplin masa dan amanah tanggungjawab, tampil memperlihatkan sisi jiwa yang halus melalui karya puisi ciptaan sendiri. Inilah bukti bahawa perkhidmatan awam bukan hanya digerakkan oleh prosedur dan sistem, tetapi diperkukuhkan oleh nilai, rasa dan kemanusiaan.
"Lebih bermakna lagi, puisi-puisi yang dipersembahkan pada hari ini adalah bertemakan Ramadan iaitu bulan yang mendidik jiwa, menundukkan nafsu dan meninggikan darjat kesabaran serta keikhlasan. Setiap bait yang dilafazkan sebentar tadi bukan sekadar rangkaian kata yang indah, tetapi pancaran keinsafan, gema muhasabah, dan seruan kembali kepada fitrah sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.
"Sesungguhnya, apabila Bahasa Melayu diangkat sebagai wahana menyampaikan nilai-nilai ini, kita bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa, bahasa ilmu dan bahasa peradaban. Bahasa Melayu yang kita warisi ini bukan bahasa yang lemah tetapi bahasa yang sarat falsafah, halus budi dan tinggi martabatnya apabila digarap dengan keikhlasan dan ketelitian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sayembara Deklamasi Puisi Artistik, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bersempena Program Tanwir Ramadan 2026/1447H.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi) BPSM, Mohd Tarmizi Saad dan Pegawai Tadbir (Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah) BPSM, Muhammad Azim Zainal.
Dalam perkembangan sama, Sharhida mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta yang berani tampil dengan hasil karya puisi masing-masing. Keberanian untuk menzahirkan suara hati melalui puisi adalah cerminan keyakinan diri serta kecintaan terhadap bahasa dan nilai rohani.
"Bagi saya 27 orang peserta yang bertanding pada hari ini telah pun mencatat kemenangan yang lebih besar iaitu kemenangan menundukkan rasa gentar dan mengangkat suara jiwa ke pentas yang terhormat ini.
"Semoga puisi-puisi yang lahir pada hari ini menjadi saksi bahawa dalam kesibukan berkhidmat sebagai penjawat awam, kita tidak pernah melupakan tanggungjawab memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi nilai kemanusiaan sejagat," ujarnya.
Mohd Fauzi Md. Isa dari Majlis Daerah Sik telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik dengan membawa pulang wang tunai RM600.00 beserta Sijil Penghargaan dan Buku tajaan Perpustakaan Awam Negeri Kedah manakala Mohd Fitri Jamil dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah berjaya mendapat Naib Johan dengan membawa pulang wang tunai RM500.00 beserta Sijil Penghargaan dan Buku tajaan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.
Bagi pemenang tempat ketiga yang juga memenangi Penulisan Puisi Terbaik diperolehi oleh Nor Azlin Alyas dari Jabatan Pengairan & Saliran Negeri Kedah dengan membawa pulang wang tunai RM400.00 dan RM200.00 beserta Sijil Penghargaan dan Buku tajaan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.
Sumber: Teks dipetik dari Warta Kedah dan Video diambil dari potongan Video Program Tanwir Ramadan Pejabat SUK Kedah tahun 2026.
Sebagai kenangan dalam hidup saya sebagai seorang penjawat awam dan pencinta penulisan puisi.
Menyingkap kali pertama sajak hasil nukilan saya berjaya disiarkan dalam majalah Tunas Cipta edisi Jun 2023, bukan main gembira hati ini tidak terungkap dengan kata-kata kecuali syukur kepada Allah SWT. Sesungguhnya usaha tanpa jemu akan membuahkan hasil, bagi penulis baru seperti saya. Ini merupakan satu penghargaan yang cukup besar dalam arena penulisan oleh Majalah Tunas Cipta Dewan Bahasa dan Pustaka (TP DBP).
Hal yang paling signifikan dalam Tasik Perasaan ialah diilhamkan dengan metafora sebuah tasik yang merupakan ikon daerah kelahiran saya yang mempunyai tiga kawasan tadahan air iaitu Tasik Gubir, Tasik Beris dan Ampang Jajar Jeniang Tranfer. Sumber alam ini mencetuskan idea penulisan dalam menghasilkan sajak ini.
Isi utama yang ingin disampaikan sudah tentulah, berkaitan gambaran perasaan yang jelas apabila air mata yang mengalir akan memberikan kata dua dalam diri kita sebagai manusia biasa iaitu perasan gembira dan sedih. Itulah serba ringkas berkaitan sajak saya berjudul Tasik Perasaan.
Merupakan hasil penulisan sajak saya yang melalui kenangan suka duka bermain wau di zaman kanak-kanak. Wau Nan Sebuah melatari pemikiran yang mendalam bukan semata-mata tentang hobi, ianya juga mencakupi perjalan hidup kita dalam menempuh kehidupan seharian termasuk tanggungjawab yang mungkin perlu ditunaikan dalam masyarakat, cita-cita yang kita inginkan.
Walau apapun pengalaman yang diperolehi kita tidak dapat lari dari hakikat sebenar perlu kembali kepada pekerjaan yang selalu atau biasa kita lakukan demi mencari rezeki yang berpanjangan. Hobi seperti bermain wau bukan tidak memberi manfaat yang baik bahkan itulah tempoh masa yang dapat merehatkan minda daripada kesibukan kerja apatalah lagi jika seseorang itu bergelar seorang pesawah.
Saya mengambil peluang menulis berkaiatan wau sebagai satu kenangan yang mungkin satu masa permainan wau ini mungkin tidak relevan lagi ditelan arus pemodenan.